Powered by Blogger.
Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya : "Sampaikanlah dari aku walaupun satu ayat, dan bicaralah tentang kisah (hadis) Bani Israil, tidaklah ia satu kesalahan. Dan barangsiapa yang berdusta atas aku dengan sengaja, pasti dia akan mendapat tempatnya di dalam neraka." (Hadis Riwayat Bukhari)
RSS

Saturday, April 30, 2011

MARIAM

Sebelum menurunkan kisah Nabi Isa eloklah diceritakan hal ibunya dahulu. Ibunya adalah seorang perempuan yang mulia. Allah memuliakannya dengan menamakan sebuah surah sempena namanya. Surah itu adalah surah Mariam iaitu surah yang kesembilan belas di dalam al-Qur'an.
Bapa Mariam bernama Imran. Dia juga dimuliakan Allah. Sebenarnya, keluarga Imran dimuliakan Allah. Buktinya terdapat pada ayat berikut:
"Allah telah memilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas semua alam" (3:33).
Demikianlah dinamakan keluarga-keluarga yang dipilih Allah di atas semua di alam ini. Ayat itu adalah ayat yang ke-33 dalam surah Ali Imran, atau Keluarga Imran, iaitu surah ke-3 di dalam al-Qur'an.
Di surah itulah bermula cerita Mariam. Ceritanya bermula dengan kelahirannya. Allah menceritakan begini:
"Apabila isteri Imran berkata, 'Pemeliharaku, aku bernazar kepada Engkau, untuk kebaikan, apa yang di dalam perutku. Terimalah Engkau yang ini daripadaku; sesungguhnya Engkaulah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.'
"Dan apabila dia melahirkannya, dia berkata, 'Pemeliharaku, aku telah melahirkannya, seorang anak perempuan.' Allah sangat mengetahui apa yang dia melahirkan, dan bukanlah anak lelaki seperti anak perempuan, 'Dan aku menamakan dia Mariam, dan melindungkannya kepada Engkau dengan keturunannya, daripada syaitan yang direjam.'" (3:35-36)
Perhatikan kepada doa ibu Mariam sebelum dan selepas melahirkannya. Allah menerima doa ibu Mariam dengan baik.
Kemudian, Allah menceritakan pula Mariam dijagai oleh Zakaria. Mungkin kerana ibu bapa Mariam sudah meninggal dunia. Zakaria adalah ahli keluarga Imran. Dia berjaya menjaganya setelah bertengkar dengan ahli keluraga yang lain kerana masing-masing ingin menjaga Mariam (3:44).
Lalu Mariam membesar,
"..... dia membesar dengan menarik hati .... Setiap kali Zakaria masuk kepadanya di mihrabnya (bilik ibadat), dia mendapati rezekinya. Dia berkata, 'Wahai Mariam, dari manakah ini kepada kamu?' Dia (Mariam) berkata, 'Daripada Allah,'" (3:37).
Di bilik itu sentiasa terdapat makanan yang datang dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah memelihara Mariam dengan baik untuk suatu rancangan-Nya yang besar. Mariam adalah seorang yang taat kepada Allah.
Suatu hari tatkala Mariam sedang menyendiri muncul seorang malaikat (juga dipanggil rasul) yang menyerupai di hadapannya seperti seorang manusia dengan tanpa cacat. Dia menjadi takut seraya berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
"Dia  (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang suci.'
"Berkata, 'Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?'
"Dia berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:18-21).
Bayangkanlah perasaan seorang perempuan yang mulia yang akan mengandung tanpa suami! Bagaimanakah dia akan menjelaskannya kepada keluarganya dan orang lain?
"Lalu dia mengandungnya, dan berundur dengannya ke suatu tempat yang jauh" (19:22).
Tempat itu, menurut ayat 23:50, adalah "di atas bukit, di mana ada sebuah lubang, dan sebuah mata air."
"Dan rasa sakit beranak mendatanginya di batang pohon palma. Dia berkata, 'Aduhai, sekiranya aku telah mati sebelum ini, dan menjadi sesuatu yang dilupakan!'" (19:23).
Mariam kesakitan. Dia keseorangan. Kalaulah dia sudah mati sebelum itu, katanya. Justeru, bayi yang baru dilahirkannya berkata-kata pula kepadanya.
"Tidak, janganlah kamu bersedih; sesungguhnya Pemelihara kamu mengadakan di bawah kamu sebuah anak sungai.
"Goyangkanlah kepada kamu batang palma; ia akan menjatuhkan kepada kamu kurma yang segar dan masak.
"Maka makan dan minumlah, dan bergembiralah; dan jika kamu melihat seseorang manusia, katakanlah, 'Aku telah bernazar kepada Yang Pemurah untuk berpuasa, dan pada hari ini, aku tidak akan berkata-kata kepada seseorang manusia pun.'" (19:24-26)
Anak yang baru dilahirkannya, selain menyuruh makan dan minum, mengajarnya apa yang harus dilakukan apabila berjumpa orang lain. Dia menyuruh ibunya mendiamkan diri kerana dialah yang akan menjelaskan keadaan sebenar. Selepas itu Mariam pulang ke rumah.
"Kemudian dia mendatangkannya kepada kaumnya dengan membawanya; dan mereka berkata, 'Wahai Mariam, sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang aneh!
"Wahai saudara perempuan Harun, bapa kamu bukanlah seorang lelaki yang jahat, dan bukan juga ibu kamu seorang jalang,'" (19:27-28)
Sekiranya Mariam menjawab tuduhan itu tentu keadaan menjadi amat rumit lagi baginya. Dia mendiamkan diri seperti yang disuruh oleh puteranya.
"Maka dia menunjuk kepadanya; tetapi mereka berkata, 'Bagaimanakah kami berkata-kata kepada orang yang masih dalam buaian, seorang anak kecil?'" (19:29)
Lalu sesuatu yang memeranjatkan mereka berlaku, apabila,
"(Isa) Berkata, 'Sesungguhnya aku hamba Allah; Dia memberi aku al-Kitab, dan menjadikan aku seorang Nabi.
"Dia membuat aku diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia mewasiatkan aku supaya bersolat, dan zakat, selama aku hidup,
"Dan taat kepada ibuku, dan Dia tidak membuat aku sombong, sengsara.
"Kesejahteraan ke atasku, pada hari aku diberanakkan, dan hari aku mati, dan hari aku dibangkitkan hidup'" (19:27-33).
Apakah reaksi orang ramai apabila melihat Nabi Isa berkata-kata semasa masih bayi lagi?
Namun, selepas berlaku mukjizat itu, masih terdapat orang-orang yang tidak percaya dan melakukan pengumpatan yang besar terhadap Mariam (4:156). 
Apa yang berlaku pada Mariam adalah suatu contoh ujian dan pengorbanan bagi orang yang percaya kepada Allah. Khususnya bagi kaum wanita.
Mariam adalah salah seorang daripada dua orang perempuan beriman yang berdarjat tinggi di sisi Allah. Demikian itulah kata Allah berbunyi,
"Allah membuat satu persamaan bagi orang-orang yang percaya - isteri Firaun, apabila dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.'
"Dan Mariam, puteri Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami menghembuskan ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan Kitab-Kitab-Nya, dan menjadi antara orang-orang yang patuh" (66:11-12).
Akan tetapi, Allah berfirman lagi mengenai Mariam. Kata-Nya Mariam adalah di atas semua perempuan di semua alam. 
"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42). 

sm0ge sme2 kite mgambil iktibar dr ape yg dcritekan di atas....

copypaste from: http://www.e-bacaan.com/sudut_pn03.htm


No comments:

Post a Comment